Solat berjemaah, enam didenda
ENAM lelaki termasuk empat warga emas dihukum denda RM800 setiap seorang oleh Mahkamah Majistret Kuala Kangsar hari ini selepas mengaku bersalah ingkar Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dengan berhimpun dengan maksud melakukan solat berjemaah di sebuah masjid minggu lalu.
Kesemua tertuduh iaitu Ahmad Anuar Mushaddad Ariffin, 48; Mohd Sazali Hasan Basri, 53; Meor Hassan Meor Ali, 63; Jamilan Alang Md Awin, 76; Zubir Alang Abdul Karim, 75; Azman Yahya, 69, masing-masing memahami pertuduhan yang dikemukakan oleh Timbalan Pendakwa Raya Hasyutantee Khalil di hadapan Majistret Rohaida Ishak.
Mengikut kertas pertuduhan, kesemua tertuduh didapati dengan niat berhimpun di dalam mana-mana kawasan tempat jangkitan bagi maksud keagamaan iaitu di Masjid Idrisiah ke-ii Kampung Sayong Tengah pada 8.40 malam, 16 April lalu.
Berdasarkan fakta kes, kesemua tertuduh berhimpun di ruangan solat di masjid berkenaan sejak 7 malam bagi tujuan menunaikan solat Isyak berjemaah di mana siasatan mendapati bahawa imam yang bertugas sudah memberi nasihat dan notis kepada mereka tetapi tidak diendahkan.
Siasatan lanjut mendapati kesemua tertuduh tidak mempunyai kebenaran daripada Jabatan Agama Islam Perak (JAIPk) untuk solat berjemaah di masjid terbabit.
Ia melanggar Peraturan 6(1) Peraturan-peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Langkah-langkah di dalam Kawasan Tempatan Jangkitan) (No.3) 2020 yang boleh dihukum mengikut Peraturan 11(1) peraturan sama yang dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan.
Kesalahan itu memperuntukkan denda tidak melebihi RM1,000 atau penjara tidak melebihi enam bulan atau kedua-duanya sekali.
Peguam Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK) Nurul Hanis Mohd Zaini yang mewakili kesemua tertuduh memohon hukuman minima dikenakan atas alasan tertuduh sudah lanjut usia, mempunyai masalah kesihatan serta tidak mempunyai pendapatan tetap.
Selain itu, Nurul Hanis berkata, ia juga adalah kesalahan kali pertama bagi kesemua tertuduh berhubung sabitan kes mahkamah di samping berhujah bahawa pihak pengurusan masjid seharusnya memastikan pintu masjid sentiasa berkunci sepanjang tempoh PKP bagi mengelakkan mana-mana individu tidak berkenaan memasukinya.
Bagaimanapun, Rohaida menegaskan tidak mungkin kesemua tertuduh kurang jelas mengenai larangan sebarang aktiviti secara berkumpulan termasuk di masjid sepanjang PKP.
"Masjid berkunci atau tidak bukan alasan kerana tidak mungkin masih ada yang tidak tahu (mengenai PKP) susulan laporan di media massa yang setiap hari melaporkan statistik kes Covid-19," katanya.
Rohaida kemudiannya menetapkan denda denda RM800 terhadap setiap tertuduh atau penjara satu bulan jika gagal membayar denda.
